Anak sudah menjangkau umur 15 bulan. Dirumah tiada rutin yang lain kecuali anak akan memanjat sofa untuk mencapai komputer. Anak suka main dibawah meja makan dan sering kali terhantuk kepala kerana anak makin tinggi tapi anak tidak sedari yang dia perlu tundukkan kepalanya jika mahu bermain bawah meja. Anak gemar berpaut pada kaki si ibu tatkala ibu memasak. Anak juga suka memeluk ibu dan bapanya dari belakang untuk memberitahu barangkali yang anak sayangkan ibu dan bapanya.
Anak banyak membebel sekarang dan gemar bercakap “no”. Samada anak faham bahasa inggeris atau bahasa melayu, entahlah. Rumah kami kecil jadi boleh dikatakan setiap perinci rumah ini anak sudah terokai dengan memanjat. Anak bijak, jika anak tak dapat capai, anak akan berusaha buatkan tangga.
Anak walaupun sudah besar masih belum gemar mahu memakan makanan orang dewasa. Perut sendiri, hanya sendiri yang tahu, bukan. Mungkin sebab itu anak tahu dirinya sudah bersedia atau tidak. Asalkan anak sihat, si ibu terima.
Anak masih cintakan susu ibu. Masih memerlukannya. Tanpa susu si ibu, anak tidak dapat tidur. Anak juga kerap bangun malam sebab mahukan susu dan si ibu disisi. Ah, anak kecil, sayangnya si ibu pada anak!
Tiap kali televisyen dipasang, anak sering kali mahu mencium skrin TV ataupun memegangnya. Tak lupa juga pada komputer. Si ibu jangkakan perihal anak ini kerana anak sudah biasa main iPad dan iPhone yang memerlukan sentuhan jari, jadi anak anggap semua skrin berkomputer memerlukan jari. Haha…lucu bukan. Walaupun begitu, anak juga pandai meniru gaya ibu dan bapa menaip pada “keyboard” komputer. Jari jari comel anak menaip sangatlah comel, buat si ibu gelak ketawa sebab ibu sangat bahagia.
Walaupun sebenarnya pada tengah malam tiap kali anak bangun dan si ibu mengeluh, sebab si ibu penat dan mengantuk. Ya, memang si ibu banyak mengeluh kadang kadang. Tapi si ibu tak mungkin mahu menukar situasi ini dengan apa sekali pun. Bukankah anak nyawa si ibu. Tanpa anak, tak mungkin ibu boleh hidup.
Anak nyawa “mummy”.
- Posted using BlogPress from my iPad








